Berita Semasa

Anwar sifatkan Razali sebagai guru dalam perjuangan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesedihan yang amat sangat di atas pemergian Dekan pertama Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Razali Nawawi pagi tadi.

Beliau berkata, Razali yang merupakan Presiden pertama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merupakan rakan dan gurunya dalam menempuh perjuangan penuh berliku.

“Amat menyedihkan tatkala Ustaz Dr. Razali Nawawi yang kami kasihi telah meninggalkan dunia ini.

“Beliau merupakan salah seorang penjana dan pendiri ABIM yang gigih bersama-sama saya dan rakan-rakan yang lain, selain sebagai antara guru dalam perjuangan yang penuh liku ini,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi Dr Razali Nawawi yang sedang tenat beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan roh Allahyarham dirahmati dan segala kesalahannya diampuni.

“Saya sempat menziarahi beliau minggu lalu yang sedang uzur.

“Semoga Allah merahmati rohnya dan memaafkan semua kesalahannya. Mendoakan keluarga dan insan tersayang yang ditinggalkan tabah dan dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT,” katanya.

Allahyarham Razali yang berusia 83 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 pagi di Hospital Pakar An-Nur di sini.

Beliau dipilih sebagai Presiden ABIM pertama pada tahun 1972 hingga 1974 dan dilantik sebagai Dekan Kulliyyah Undang-undang UIAM pertama pada 1983 hingga 1993.

Show More

Related Articles

Back to top button