Berita Semasa

‘Adakah Raja-Raja Melayu dirujuk terlebih dahulu’ – soal Hamzah Zainudin

Ia selepas kerajaan menarik balik rayuan kalimah Allah di mahkamah

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan sama ada kerajaan telah merujuk kepada Raja-Raja Melayu terlebih dahulu sebagai ketua agama Islam sebelum menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah.

Beliau berkata, keputusan kerajaan menarik balik rayuan itu juga dilihat salah dan tersasar sama sekali.

Menurut Hamzah, tindakan itu juga membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sensitif terhadap isu kalimah Allah sedangkan perkara itu boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

Beliau menegaskan, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab secara langsung dalam kes Jill Ireland itu, Hamzah berasa kesal, terkilan dan kecewa dengan langkah kerajaan menarik balik rayuan tersebut.

Lebih menimbulkan persoalan, kata Hamzah, mengapa kerajaan secara tiba-tiba tidak mahu membenarkan proses perundangan dan kehakiman mengikut Perlembagaan itu mengambil tempat.

“Dalam Perlembagaan, apa juga keputusan perbicaraan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan semua pihak perlu membenarkan proses undang-undang ini mengambil tempat dengan sewajarnya tanpa sebarang campur tangan.

“Biarlah mahkamah di peringkat tertinggi yang memutuskan dan setelah kesemua proses undang-undang itu telah disempurnakan, kita wajib menghormati keputusan mahkamah.

“Mengapa proses perundangan dan kehakiman itu dihalang dan mengapa Menteri Dalam Negeri bertindak tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu, sedangkan isu kalimah Allah ini amat-amat sensitif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, bukan sahaja keputusan kontroversi itu dibuat senyap-senyap sehingga menimbulkan perdebatan, bahkan notis pemberhentian itu juga dibuat pada 18 April iaitu dalam bulan Ramadan.

Walhal Hamzah berkata, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada 2018 telah menegaskan bahawa Allah merupakan kalimah suci yang khusus dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain.

“Mengambil contoh kes Menteri Dalam Negeri lawan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur pada 2009 yang berkait isu penggunaan kalimah Allah, Hamzah berkata, selepas selesai perbicaraan di Mahkamah Tinggi, rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan dipengerusikan Tan Sri Apandi Ali pada 2013.

“Seterusnya proses di Mahkamah Persekutuan mengambil tempat, dipengerusikan Tun Arifin Zakaria, sehinggalah akhirnya keputusan dibuat pada 23 Jun 2014 iaitu Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan majalah mingguan The Herald,” katanya.

Lebih mengelirukan katanya, Perdana Menteri sendiri mengeluarkan kenyataan kononnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu hanya terpakai di Sarawak, yang secara jelas membuktikan beliau seorang cuai, yang tidak meneliti keputusan mahkamah.

“Saya katakan Perdana Menteri cuai kerana, rampasan lapan cakera padat ajaran Kristian yang mengandungi perkataan Allah pada 11 Mei 2008 itu berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, bukannya di Sarawak dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga ‘relif certiorari’, bukan hanya terhad kepada Sarawak.

“Anwar sendiri, bersama James Peter Ongkili dan Allahyarham Tun Ghafar Baba adalah anggota Kabinet yang terbabit dalam Jawatankuasa Mengkaji Istilah/Perkataan Islam Di Dalam Al-Kitab Yang Tidak Boleh Digunakan pada 1986.

“Sepatutnya beliau lebih faham sensitiviti serta mudarat lebih besar dengan tidak membuat kenyataan mengelirukan begitu,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button