Berita Semasa

Isu tempat letak kereta Sri Penara selesai tidak lama lagi

KUALA LUMPUR – Isu kesesakan tempat letak kereta yang berlarutan selama hampir 10 tahun yang membelenggu penduduk Pangsapuri Sri Penara di Bandar Sri Permaisuri, di sini dijangka selesai tidak lama lagi.

Ketua PKR Cabang Bandar Tun Razak (BTR), Azman Abidin berkata, cadangan yang telah diusulkan bagi menyelesaikan masalah tersebut sudah dibentangkan kepada kepada pihak yang berwajib dan kini sedang menunggu kelulusan.

“Susulan perbincangan yang diadakan baru-baru ini di antara pihak DBKL (Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur), PTG (Pejabat Tanah dan Galian) dan TNB (Tenaga Nasional), cadangan yang diusulkan sudah dipersetujui.

“Kini kita sedang menunggu kelulusan daripada PTG dan saya mohon semua penduduk dapat menunggu sedikit masa lagi,” kata Azman.

Azman yang juga merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan 2023 yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail, hari ini.

Sementara itu, menurut salah seorang wakil penduduk yang ditemui, salah satu cadangan yang pernah dikemukakan adalah pembinaan sebuah parkir bertingkat, namun ditolak kerana kos perkhidmatan yang bakal dikenakan ke atas penduduk.

“Ada satu kontraktor pernah tawarkan untuk bina parkir bertingkat, tapi kita tolak kerana mereka cadang kenakan caj RM100 sebulan bagi mereka yang menggunakan parkir berkenaan.

“Rata-rata penduduk di kawasan ini golongan B40 jadi kami berpendapat caj itu boleh membebankan perbelanjaan bulanan mereka, jadi kami tolak,” kata wakil berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli.

Beliau kemudiannya menjelaskan, cadangan yang sudah dipersetujui adalah meratakan satu tapak tanah di belakang blok pangsapari berkenaan dan akan melibatkan kos perataan tanah dan penurapan, pemasangan lampu dan pembinaan saliran air baharu.

“Kerja penyiapan kawasan tersebut tidak memakan kos yang terlalu tinggi, dan jika dikenakan caj pun, ia munasabah dan tidak semahal jika dibandingkan dengan kawasan parkir bertingkat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button