Sukan

SEC Lousiana: Azeem ke final, hampir pecah rekod kebangsaan miliknya

KUALA LUMPUR – Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi semakin hampir untuk memecahkan rekod 100 meter (m) kebangsaan miliknya selepas berjaya mencatatkan masa 10.11saat (s) pada saringan Kejuaraan Trek dan Padang SEC di Lousiana, pagi semalam.

Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan menerusi catatan 10.09s melakar catatan terbaik musim ini dengan pada saringan ketiga dalam kejuaraan itu.

Dia menamatkan saringan sebagai pelari kedua terpantas dan penuntut Auburn State University di Alabama itu akan berentap di final, esok.

Seorang lagi penuntut Auburn, Favour Ash melakar catatan terpantas 10.06s pada saringan sementara Javonte Harding (Tennessee) menjadi pelari ketiga terpantas dengan catatan 10.13s.

Sebelum ini, Azeem melakar 10.14s untuk menamatkan saingan di tempat ketiga pada Perlumbaan East Coast di Florida, bulan lalu.

Pada Mac, Azeem mencatat 10.32s pada Kejuaraan Perlumbaan Florida State University (FSU).

Bekas jurulatihnya, Amir Izwan mengakui pelari pecut itu kian bertambah baik.

“Saya gembira dengan kemajuannya dan 10.11s adalah catatan yang baik.

“Saya harap dia akan melakukan satu lagi catatan yang baik pada final nanti,” kata guru SMK Gunung Rapat itu.

Sasaran utama Azeem pada tahun ini adalah untuk melakukan catatan 10.00s untuk melayakkan diri ke Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary, Ogos nanti.

Show More

Related Articles

Back to top button