Politik

Elak cari salah, kukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan menjelang PRN – Noraini

KUALA LUMPUR – Pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan diingatkan untuk berkerjasama dalam memastikan kestabilan  dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata, kerangka Kerajaan Perpaduan sangat jelas serta memenuhi keperluan rakyat.

Katanya, semua anggota parti komponen Kerajaan Perpaduan perlu mengelak mencari salah dan mengungkit kisah silam sekutu mereka ketika pernah bermusuhan di pentas politik sebelum ini.

“Ini bukan masa untuk setiap parti (dalam Kerajaan Perpaduan) mencari salah dan silap serta mengungkit kisah silam sepanjang permusuhan di pentas politik. Ya, mungkin pada peringkat awal (kerjasama) agak janggal.

“Siapa sangka saya boleh duduk semeja dengan Yang Berhormat (YB) Aiman (Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Sabu) dan boleh bekerja serta berbincang dengan YB Chong Eng (Ketua Wanita DAP).

“Namun, ini satu perkara yang sudah kita mulakan dan insya-Allah, kita akan teruskan sampai bila-bila. Dengan gabungan besar yang sarat dengan pengalaman, potensi yang ada ini tidak boleh disia-siakan.

“Kita perlu fokus, jadikan konvensyen ini sebagai titik mula kepada sebuah agenda yang lebih besar, tekad bersama dan jangan bertangguh lagi,” katanya pada Konvensyen Wanita Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan, yang diadakan secara serentak.

Show More

Related Articles

Back to top button