Berita Semasa

MYStartup NXT galakkan inovasi dalam masyarakat Malaysia

CYBERJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) hari ini melancarkan siri jelajah persidangan mikro, MYStartup NXT, sebagai sebahagian daripada usaha menjana ekosistem startup yang inklusif, berkesan dan mampan di Malaysia.

Siri jelajah ini merupakan hasil kesinambungan daripada inisiatif jelajah MYStartup sebelum ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, inisiatif sebegini perlu diteruskan kerana ia secara langsung menggalakkan pembudayaan inovasi dalam masyarakat.

“MYStartup NXT bertujuan membudayakan inovasi yang boleh dan mudah untuk diakses dalam usaha Kerajaan menyokong pembangunan startup dalam jangka panjang, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, iaitu membina negara berinovasi dan berteknologi tinggi.

“Selain itu, pelancaran Laporan Tahunan MYStartup hari ini juga akan membantu Kerajaan dalam merealisasikan aspirasi tersebut menerusi program-program yang akan dipacu untuk memberikan hasil terbaik”, kata Lih Kang.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sejurus hadir merasmikan majlis tersebut, di sini hari ini.

Persidangan mikro ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan startup tempatan di seluruh Malaysia, memberi akses yang lebih meluas kepada sokongan dan faedah ekosistem startup, serta membantu pertumbuhan syarikat.

Selepas Cyberjaya, program ini akan menjelajah ke Sarawak, Pulau Pinang, dan Sabah.

MYStartup menyasarkan untuk mewujudkan lebih daripada 5,000 startup berkualiti menjelang tahun 2030.

Show More

Related Articles

Back to top button