Jenayah & Mahkamah

Dua didakwa bunuh pemilik rangkaian klinik

KAJANG – Seorang pemandu e-panggilan dan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini di atas tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan bulan lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama untuk membunuh, mengikut Seksyen 302 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati.

Devan Jayasimhan, 41, dan Hariharan Silvam, 22, mengesahkan mereka faham tuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua suspek didakwa secara bersama membunuh pemilik rangkaian klinik Mohamed Usman Chan Bacha, 41, selepas gagal memeras ugutnya.

Pembunuhan itu didakwa berlaku berhampiran tebing curam di sepanjang Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat antara 12.45 tengah hari pada 26 April dan 6.40 petang 28 April.

Majistret menetapkan 19 Jun depan bagi sebutan kes seterusnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, manakala Tan Cheng Yee mewakili tertuduh selaku peguam.

Show More

Related Articles

Back to top button