Polis buru 3 lelaki larikan tabung masjid
PETALING JAYA – Tiga lelaki disyaki terlibat dalam kes melarikan tabung masjid di SS7, Kelana Jaya, di sini pada Isnin lalu sedang diburu polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada petugas masjid tersebut pada jam 7.30 pagi.
“Pengadu mendapati tabung masjid yang berada di pekarangan masjid telah tiada ketika dia bersama jemaah selesai menunaikan solat Subuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pengadu telah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati tiga suspek lelaki telah masuk ke dalam kawasan masjid.
“Suspek menggunakan pemotong besi dan melarikan tabung masjid tersebut, anggaran kerugian yang dialami oleh masjid tersebut kira-kira RM400.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.