PETANG ini (27 April 2023, Khamis) rombongan kami tiba di Masjid Kobe. Di masjid inilah Pendakwah Malaysia Zulkarnain Hasan Basri mula mengorak langkah berdakwah kepada warga Jepun.
Abang saya Ahmad Tarmizi Abdul Rahim pula mula bertemu Zulkarnain di Masjid ini ketika beliau datang membawa tugasan Utusan Malaysia membuat liputan tentang Islamic Tourism di Jepun pada tahun 2017. Melalui abang saya, hubungan saya dengan Zulkarnain dijalin sehingga kini.
Pada tahun 2018 Zulkarnain dilarang berdakwah di Masjid Kobe atas sebab yang tidak jelas. Sedangkan Masjid kobe sering dikunjungi pelancong Jepun kerana keunikannya sebagai Masjid tertua di Jepun. Masjid ini juga kukuh berdiri walaupun Kobe pernah dibom tentera musuh dalam Perang Dunia kedua dan dilanda gegaran gempa bumi Hashin yang dahsyat pada tahun 1995.
Lama Zulkarnain berdakwah di Masjid ini dan ramai warga Jepun mendapat hidayah atas usahanya di Masjid ini. Setelah dihalang, Zulkarnain dengan bantuan NGO kami di Malaysia, Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia membeli bangunan Japan Da’wah Centre di Osaka.
Hari ini, ketika sampai ke sini, kami dapat tahu Masjid Kobe sudah bertukar pengurusan baharu dan AJK baharu lebih mesra dakwah. Petang ini juga Masjid Kobe dikunjungi sekumpulan warga China yang mahu mengkaji tentang Islam di Jepun. Ketua rombongan ini seorang Prof di University di China yang banyak mengkaji tentang Islam.
Zulkarnain kembali beraksi melayan semua soalan warga China ini dan dibantu pula Imam Baharu Masjid Kobe, Syeikh Salahuddin yang berasal dari Mesir. Alhamdulillah… Alhamdulillah dakwah kembali bergema di Masjid Kobe. Bahkan para jemaah meminta Zulkarnain kembali untuk berdakwah kerana mereka sebenarnya hauskan kerja dakwah dan kemahiran dakwah Zulkarnain yang sangat unik dan berkesan.
Sebelum rombongan China itu keluar dari Masjid Kobe, Zulkarnain mengajar mereka sesuatu yang berharga;
Katanya…
“Ucapkan lafaz ini, (lafaz Syahadah) ia boleh membawa anda semua ke syurga.”
Teknik ini bukan memaksa mereka memeluk Islam, sebaliknya menunjukkan betapa kalimah Tawhid menjadi tunjang ajaran Islam dan mudah sebenarnya memeluk Islam.
Berminat untuk menyertai kami dalam kerja dakwah ini? Boleh ikuti perkembangannya di Facebook Japan Da’wah Centre .
JDC punyai tarikan luar biasa terhadap warga Jepun kerana seni binanya berkonsepkan seni bina tradisional Jepun yang dikenali sebagai WAFU. Sentuhan budaya sebegini berjaya menarik minat orang Jepun untuk berkunjung dan mengenal Islam di JDC.
Mereka melihat Islam sebagai agama universal yang tidak berbangsa. Mereka tidak perlu menjadi Arab, Melayu, Turki atau Pakistan untuk menerima Islam. Dalam beberapa siri syahadah, JDC menggalakkan warga Jepun memakai pakaian tradisional mereka seperti Kimono agar mesej tentang kesyumulan Islam sampai kepada warga Jepun lain.
Setakat mula beroperasi pada tahun 2020 sehingga April 2023, sudah 53 warga Jepun memeluk Islam di Japan Da’wah Centre. Kami juga sedang mengumpul dana untuk membina Masjid al-Dakwah di Wakayama yang akan dibina dengan Seni Bina Jepun seperti JDC.
Berminat menyumbang? Salurkan ke sini:
Maybank Islamic
No akaun: 5621-0669-8737
PERSATUAN FAJAR IMAN MATAHARI TERBIT MALAYSIA
Rujukan: Masjid al-Da’wah.
Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
Presiden Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia
27 April 2023.
Dari Osaka, Jepun.
Artikel ditulis oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim.