Pemimpin Amanah boleh beri pandangan, namun keputusan parti perlu diutamakan – Mat Sabu
KUALA LUMPUR – Barisan kepimpinan Amanah berhak untuk menyuarakan pendapat dan pandangan masing-masing, namun mereka terikat dengan keputusan parti.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan.
Sungguhpun begitu, katanya, dalam konteks organisasi, pandangan individu tidak mewakili organisasi atau parti melainkan ianya adalah keputusan rasmi parti tersebut yang diputuskan dalam mesyuarat parti.
“Amanah, PKR atau DAP yang bergabung di dalam Pakatan Harapan (PH) tertakluk kepada keputusan Pakatan Harapan yang perlu diutamakan jika bercanggah dengan keputusan parti.
“Begitu juga dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini, keputusan di peringkat gabungan kerajaan Perpaduan mengatasi keputusan parti-parti atau pakatan politik masing-masing dan ianya perlu diutamaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, berhubung kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kuasa tertinggi yang mempunyai hak untuk membuat keputusan adalah Yang di-Pertuan Agong.
Tegasnya, semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong seterusnya memberi fokus dengan khidmat kepada rakyat.
Kenyataan tersebut keluar selepas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abd Samad berhubung pengampunan Najib yang mengundang amarah dalam kalangan pemimpin UMNO.
Dalam kenyataan itu, Khalid meminta kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib.
Katanya, Amanah berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.