Saksi anjing dirantai, diseret atas jalan raya diminta tampil beri maklumat
SERDANG – Persatuan Haiwan Malaysia merayu orang ramai tampil bagi memberi maklumat mengenai kejadian anjing diseret dari belakang sebuah lori yang tular di media sosial baru-baru ini.
Persatuan itu dalam satu kenyataan di Facebook berkata, saksi dan individu yang merakam kejadian tersebut diminta tampil untuk memberi maklumat sama ada anjing yang diheret itu masih hidup atau sudah mati.
“Saksi yang melihat dan yang merakamkan gambar aksi menyeret anjing di belakang lori serta pemilik lori bernombor plat WPP2638 diminta tampil untuk menjelaskan sama ada anjing yang diikat di belakang lori masih hidup sewaktu lori bergerak atau hanya seekor bangkai anjing yang hanya diikat dibelakang lori dalam keadaan lori tidak bergerak?,” soalnya dalam kenyataan itu.
Katanya, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Serdang Raya pada Khamis lalu sekitar jam 6.00 pagi.
“Kerjasama semua pihak amatlah dialu-alukan untuk mengetahui kejadian sebenar aduan ini supaya satu siasatan mendalam dan keadilan dapat diberikan terhadap maklumat sepihak mengenai tuduhan yang mendakwa pemandu lori benar-benar menzalimi atau anjing yang diseret telah tidak bernyawa sewaktu sebelum seretan.
“Bagaimanapun, sikap menyeret anjing jika sudah tidak bernyawa sekali pon dengan apa jua alasan adalah satu gambaran perbuatan yang zalim dan tidak sepatutnya dilakukan kerana menggambarkan hilangnya perikemanusiaan,” katanya lagi dalam kenyataan itu.
Terdahulu, tular gambar yang memaparkan anjing ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila dirantai dan diseret oleh sebuah lori.
Menurut Instagram Salehatul Khuzaimah M.Ali, diperlihatkan anjing yang berwarna hitam itu dalam keadaan terbaring dan berantai sambil diseret di belakang sebuah lori di atas jalan raya.
“Tidak dapat dipastikan sama melalui gambar ini anjing tersebut masih hidup atau pun sudah mati ketika itu.
“Saya juga tidak pasti perbuatan ini disengajakan atau tidak.
“Semoga kes ini dapat difailkan dengan segera dan disiasat supaya tindakan sewajarnya boleh dikenakan kepada si pelaku jika didapati bersalah,” kata pemilik akaun itu.