Berita Semasa

Hanya kerana bimbangkan kesihatan suami

Wanita nekad meniarap di bonet kereta bagi halang suami keluar rumah

PORT DICKSON – Tindakan seorang wanita meniarap di atas sebuah kereta seperti yang dirakam dalam sebuah video yang menjadi tular baru-baru ini adalah bagi menghalang suaminya keluar rumah.

Timbalan Ketua Polis daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, wanita berusia 32 tahun itu bertindak demikian selepas suaminya yang berusia 58 tahun tidak menghiraukan nasihatnya supaya tidak keluar rumah kerana bimbangkan kesihatannya.

“Kedua-dua mereka yang merupakan warga Indonesia telah tampil ke balai polis Port Dickson pada hari ini untuk memberi penjelasan sebenar kejadian berlaku selepas mengetahui ia tular di media sosial.

“Pasangan itu yang tinggal di Port Dickson memberitahu, sebelum kejadian berkenaan mereka telah bertengkar di rumah kerana si suami hendak pergi ke rumah anak mereka di Teluk Kemang.

“Bagaimanapun, wanita itu menghalang suaminya keluar memandu kenderaan kerana bimbangkan kesihatannya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, sebuah video yang memaparkan aksi wanita bekenaan meniarap di atas bonet hadapan sebuah kereta Proton Wira menjadi tular di media sosial.

Difahamkan, aksi berbahaya wanita itu dirakam di persimpangan lampu isyarat di Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson.

Kata Muhamad Mustafah, lelaki itu baharu sahaja mendapat rawatan di Hospital Port Dickson.

“Tanpa menghiraukan isterinya, dia telah keluar dari rumah dengan memandu kenderaan.

“Wanita itu kemudiannya membonceng motosikal ditunggang jirannya dan mengesan lelaki itu di lampu isyarat Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson.

“Wanita itu kemudian bertindak menghalang kereta dipandu suaminya untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Beliau berkata, pasangan itu memohon maaf atas perbuatan dilakukan dan mengakui ia boleh membahayakan diri sendiri dan orang awam lain.

Show More

Related Articles

Back to top button