Jenayah & Mahkamah

Polis tahan lima lelaki disyaki pukul wanita, buang ke bawah jambatan

SHAH ALAM – Lima lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat memukul dan mencederakan seorang wanita dan kemudian mencampakkan mangsa ke bawah Jambatan Kampung Sawah, di Banting, Selango pad Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 3.25 pagi Khamis lepas, mengatakan telah terdengar suara orang meminta tolong di bawah jambatan itu.

Tambahnya, mangsa yang merupakan wanita tempatan berumur 52 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank tempatan itu kemudiannya diselamatkan orang awam dan dihantar ke Hospital Banting, selepas sekitar sejam kejadian berkenaan.

“Hasil temu bual awal, kejadian berpunca kerana mangsa menegur tindakan suspek yang kerap membuat bising serta selalu meminum minuman keras dan mengambil dadah di dalam rumah sewa yang didiami oleh mangsa dan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Ridhwan menjelaskan, mangsa telah dipukul dan dicederakan dengan menggunakan senjata tajam dan rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan kemudian dicampakkan di jambatan tersebut.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat telah berjaya membuat tangkapan terhadap lima orang lelaki warga tempatan pada petang hari yang sama di sekitar Banting dan merampas sebuah kenderaan jenis Proton Perdana dan sebatang rotan,” katanya.

Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, selain tiga daripada mereka positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button