Berita Semasa

Kamarulzaman dilantik Datuk Bandar KL yang baharu

KUALA LUMPUR – Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa pada 17 April lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu adalah selaras dengan subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190].

“Kamarulzaman, 59 tahun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur (Pengurusan Harta Benda) dari Universiti Teknologi Malaysia (1987).

“Beliau mula berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun 1991 dan mempunyai 32 tahun pengalaman dalam pengurusan bandaraya serta dasar-dasar perancangan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Zuki lagi, jawatan terakhir beliau adalah sebagai Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek), DBKL.

“Saya percaya dengan pengalaman yang dimiliki, beliau mampu memperkukuhkan lagi tadbir urus serta fungsi Pihak Berkuasa Tempatan yang dilaksanakan oleh DBKL agar terus memberi faedah kepada rakyat dan kerajaan.

“Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Datuk Seri Mahadi Che Ngah yang telah tamat tempoh pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 31 Mac 2023,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button