Jakim sangkal dakwaan cerapan anak bulan Syawal tahun lalu tidak sah
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyangkal dakwaan hasil cerapan 1 Syawal tahun lalu adalah tidak sah dan terbatal.
Menurut Jakim dalam satu kenyataan, ini kerana hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
“Pada petang 29 Ramadan tahun lalu, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej yang diperolehi telah disemak oleh jawatankuasa berkenaan.
“Selain itu, kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang merupakan ahli jawatankuasa tersebut juga telah dapat mencerap hilal melalui peralatan teodolit.
“Imej yang diperolehi kemudiannya disahkan oleh Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang tersebut dan dilaporkan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur,” katanya.
Sehubungan itu katanya, satu perbincangan khusus juga kemudian dilaksanakan oleh mufti bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal yang disediakan sebelum keputusan dibuat.
Katanya, kenampakan hilal tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, Jakim juga menyangkal dakwaan yang menyatakan bahawa laporan kenampakan hilal Syawal tahun lalu tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
Katanya, kenyataan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan kerana semakan Jakim di laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mendapati rekod tersebut boleh diakses di pautan ini.
“Semua pihak disarankan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlakunya kegusaran dan polemik yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam.
“Masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang komen.
“Jakim menyeru kepada masyarakat awam supaya menghentikan sebarang polemik dan menunggu hasil keputusan cerapan tahun ini yang akan diisytiharkan pada malam 29 Ramadan bersamaan 20 April ini oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Malaysia,” katanya.