Laporan nahas ‘Double Six’ sudah boleh dimuat turun
PUTRAJAYA – Laporan siasatan akhir nahas pesawat Sabah Air yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens boleh diakses di laman web Kementerian Pengangkutan bermula hari ini.
Laporan lengkap tragedi tersebut yang turut digelar ‘Double Six’ itu boleh dimuat turun menerusi pautan ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau sudah mengelaskan semula laporan itu sebagai dokumen terbuka dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.
Tambah Anthony, laporan siasatan akhir kemalangan udara Nomad N22B 9M-ATZ disiapkan pada 25 Januari 1977 dan kemudian dibentangkan ke Jemaah Menteri pada Mac 1977.
“Namun begitu, hasil siasatan laporan itu tidak pernah diumumkan. Oleh demikian, selama hampir 47 tahun ahli keluarga mangsa-mangsa yang terbabit tidak dapat mengetahui fakta dan sebab di sebalik nahas kemalangan udara itu,” katanya.
Dalam kejadian itu, pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang dikendalikan Sabah Air sedang dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan, ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.
Sebanyak 11 nyawa terkorban dalam tragedi Double-Six termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah ketika itu iaitu Fuad (Ketua Menteri Sabah); Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
Turut terkorban adalah Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah); Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah); Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).
Selain itu, Koperal Said Mohammad (pengawal peribadi kepada Ketua Menteri Sabah); Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ) turut terkorban.