Jenayah & Mahkamah

Bekas MB Perlis sekali lagi dihadap ke mahkamah, hadapi 5 pertuduhan ubah wang haram RM1.06 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bersabit lima tuduhan pengubahan wang haram RM1.06 juta.

Azlan, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.

“Faham (pertuduhan) dan tidak (bersalah),” katanya memetik laporan BH Online.

Mengikut pertuduhan, Azlan menerima hasil aktiviti haram iaitu wang RM208,339.9, RM196,651, RM224,404.4, RM222,811.95 dan RM207,468 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel menerusi wang tunai dan empat cek yang dimasukkan ke akaun Maybank serta CIMB milik tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya, Kementerian Kewangan, Persiaran Perdana, Presint 2 dan Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail, Chow Kit, antara antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

“Kesalahan dipertuduhkan dalam kategori tidak boleh dijamin dan ada undang-undang yang mengikatnya mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah (APC), namun kita tidak membantah jika hakim melaksanakan kuasa budi bicara melepaskan tertuduh dengan jaminan.

“Saya tak mohon syarat tambahan pasport kerana tertuduh dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar pada Isnin lalu dan memerintahkan pasport disimpan selamat oleh mahkamah berkenaan.

“Tarikh sebutan akan datang pihak-pihak (pendakwaan dan pembelaan) bersetuju pada 9 Jun ini. Saya mohon kes di Kangar dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk sebutan kes dan pada tarikh itu minta dibicarakan di sini,” katanya.

Peguam bela Azlan, Burhanudeen Abdul Wahid, tidak membantah cadangan jaminan dibuat pendakwaan.

“Kami sudah berbincang dengan pendakwaan sebelum perbicaraan pagi ini dan bersetuju cadangan jaminan RM50,000.

“Jumlah berkenaan adalah sama seperti jaminan di Mahkamah Sesyen Kangar,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan seperti ditawarkan pendakwaan dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Show More

Related Articles

Back to top button