Berita Semasa

PDRM, SKMM buka kertas siasatan ke atas Abdul Hadi, Muhammad Fawwaz

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berbaur perkauman oleh dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, kertas siasatan itu dibuka ke atas Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Ahli Parlimen Permatang Pauh yang Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Jelasnya, siasatan ke atas Abdul Hadi dan Muhammad Fawwaz dibuat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan berkaitan niat mengapi-apikan atau mungkin mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap golongan atau kaum lain.

Beliau menambah, siasatan ke atas dua wakil rakyat itu turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“(Ia) berhubung kenyataan dikeluarkan (ahli Parlimen) Permatang Pauh (Muhammad Fawwaz) yang dilaporkan membuat fitnah ke atas orang bukan Islam dan kenyataan dilaporkan (Ahli Parlimen) Marang (Abdul Hadi) berkenaan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia.

“Memandangkan kedua-dua kes masih dalam tindakan PDRM, saya tidak berhasrat mengulas lanjut untuk tidak mengganggu siasatan sedang dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Sebelum ini, Muhammad Fawwaz menerusi entri di Facebooknya dilaporkan berkata: “… Dalam sirah belum pernah ada sejarah kafir ada keinginan untuk memartabatkan agamamu wahai Muslim, tetapi menjatuhkan agamamu selalu diingatkan dalam al-Quran.”

Namun tidak lama kemudian dia memohon maaf dan berkata kenyataan berkenaan ditulis dan dimuat naik oleh pengendali Facebooknya, selain berharap isu berkenaan tidak diperbesarkan kerana sudah dipadam.

Sementara itu, Abdul Hadi pada Ogos tahun lalu, membuat dakwaan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.

Show More

Related Articles

Back to top button