Berita Semasa

‘Moga rakyat Palestin akan terus dipelihara’ – Dr Mohd Na’im

Daripada segala kejahatan yang dibuat golongan zionis

KUALA LUMPUR – Tindakan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang memberi amaran kepada Israel berhubung tindakan ‘konfrontasi agama’ oleh anggota tenteranya diharap dapat menyedarkan mereka bahawa perbuatan kejam terhadap rakyat Palestin sememangnya dibenci oleh masyarakat dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbuatan regim zionis itu merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun mempunyai pemikiran rasional lebih-lebih lagi mereka cuba menafikan hak umat Islam Palestin untuk menunaikan solat Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

“Yang paling penting saya ingat adalah saudara-saudara kita di Palestin tahu yang mereka ini sentiasa mendapat sokongan, doa dan dokongan daripada masyarakat Islam di seluruh negara.

“…bukan sahaja di Malaysia tapi juga di seluruh dunia Insyaallah.

“Kita doakan mereka ini akan terus dipelihara oleh Allah S.W.T daripada segala kejahatan yang dibuat golongan zionis ini,” katanya.

Mohd Na’im menyampaikan cenderahati kepada wakil pelajar institusi pengajian tinggi yang mengambil bahagian dalam Program Tadarus Perdana di Universiti Malaysia, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Tadarus Perdana bertemakan ‘Al-Quran Pembimbing Belia Al-Falah, Peneraju Negara Madani’ di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Semalam, kumpulan yang menyertai mesyuarat agung luar biasa Jawatankuasa Eksekutif OIC itu mengutuk ‘sekeras-kerasnya tindakan pasukan dan pendatang Israel yang berulang kali menyerbu Masjid Al-Aqsa’.

OIC meminta Israel bertanggungjawab ‘atas sebarang akibat hasil tindakan provokatif, menerusi serangan kejam yang sistematik, provokasi yang disengajakan dan hasutan untuk mencetuskan konfrontasi agama’.

Show More

Related Articles

Back to top button