Berita SemasaPM X

Rayuan Pengampunan Najib: Anwar sahkan jadi sebahagian proses penilaian

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam proses penilaian permohonan pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, tidak timbul sebarang konflik mengenai kedudukan beliau ketika ini untuk menjadi sebahagian daripada proses tersebut.

“Dia tidak berbangkit (konflik), soalnya proses mohon pengampunan dibenarkan oleh sesiapa tetapi tentunya kita akan patuh pada syarat dan peraturan.

“Walaupun saya akan berada dalam proses itu, akhirnya seperti yang saya tahu, soal penganugerahan pingat, soal pengampunan itu bawah budi bicara Yang-di Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Pelancaran Program Kita Untuk Kita di PPR Kampung Baru Hicom di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Anwar menyatakan masih terlalu awal untuk bercakap mengenai proses tersebut memandangkan ia masih lagi di peringkat awal.

“Masih terlalu awal, saya pun belum lihat apa-apa dokumen lagi setakat ini. Kita perlu lihat kes secara menyeluruh dah proses ini masih lagi dalam peringkat awal.

“Apa yang saya lihat buat masa ini cuma permohonan dari UMNO dan parti atau individu ada hak untuk buat rayuan,” katanya lagi.

Pada Jumaat, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon pertimbangan agar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi pengampunan penuh kepada Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Show More

Related Articles

Back to top button