AGI McDonald’s kembali lagi, orang ramai berpeluang calonkan guru paling banyak berjasa
KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) kini membuka peluang kepada orang ramai untuk mencalonkan guru yang telah banyak menabur jasa dan bakti sempena Anugerah Guru Inspirasi (AGI) yang akan diadakan pada tahun ini.
Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, anugerah itu dianjurkan bagi menghargai guru-guru yang telah banyak menabur jasa melangkaui tugas hakiki mereka bagi meningkatkan kecemerlangan akademik para pelajar dan membentuk pemimpin masa hadapan di Malaysia.
“Pencalonan AGI McDonald’s 2023 kini dibuka bermula 20 Mac hingga 15 April 2023. Masyarakat Malaysia dialu-alukan untuk menghantar pencalonan guru mereka melalui penceritaan tentang guru mereka yang telah mengubah hidup di samping memberi impak yang positif kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmir berkata, orang ramai boleh menghantar pencalonan mereka ke laman web ini.
Mengulas lanjut, katanya, berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, bagi tahun ini McDonald’s Malaysia telah menambah lagi hadiah untuk 25 guru inspirasi yang terpilih dan para pencalon guru-guru tersebut.
Ujarnya lagi, bagi hadiah kategori guru inspirasi, di samping baucer hadiah wang tunai bernilai RM5,000, trofi dan sijil, sekolah di mana guru-guru tersebut bertugas juga akan menerima peruntukan bernilai RM5,000 untuk menambah baik bilik guru.
“Bagi meningkatkan penglibatan pencalon dari kalangan murid-murid sekolah, setiap pencalon yang layak akan menerima Sijil Penyertaan Peringkat Kebangsaan. Sijil ini dapat menyumbang kepada markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan Dan Kokurikulum (PAJSK) mereka di sekolah.
“McDonald’s sentiasa menyanjung tinggi sumbangan para guru yang telah banyak berkorban untuk pembangunan yang telah memberi impak positif kepada anak-anak bangsa baik dari pelbagai aspek, akademi, ko-kurikulum dan pembangunan karakter. AGI McDonald’s merupakan platform yang McDonald’s perkenalkan sejak 7 tahun lalu bagi tujuan menghargai para guru di seluruh negara,” katanya.
Acara tahunan ini merupakan salah satu dari inisiatif McDonald’s Malaysia bagi menyahut seruan Menteri Pendidikan dalam Amanat Tahun Baharu 2023 yang mengalu-alukan penglibatan pihak-pihak korporat menerusi pelbagai projek seperti CSR bagi merealisasikan Pendidikan Manusiawi.
Selain daripada majlis anugerah ini, McDonald’s juga akan menjemput para guru terpilih dari seluruh negara bagi menyertai sambutan Hari Guru di semua restoran McDonald’s dari 1 hingga 31 Mei 2023.
AGI anjuran McDonald’s Malaysia ini merupakan acara tahunan sejak 2017 dan telah mendapat pengiktirafan oleh KPM sejak mula dianjurkan.
Sehingga tahun 2022, AGI McDonald’s telah merekodkan sebanyak lebih dari 30,000 pencalonan dan seramai 131 orang guru inspirasi telah menerima AGI McDonald’s ini sejak tahun 2017.
Pemenang akan dipilih melalui proses pemilihan yang terperinci oleh panel hakim mewakili pihak McDonald’s Malaysia, KPM, dan pihak media.