Buka sekolah, kami B40 macam nak gila – ibu bapa
KUALA LUMPUR – Berhutang, kerja dua syif malah ada yang terpaksa berhutang. Itu realiti yang dihadapi segelintir ibu bapa setiap kali bermulanya sesi persekolahan.
Kos perbelanjaan peralatan, pakaian dan buku sekolah yang semakin mahal itu menyebabkan ramai ibu bapa berbelanja hanya mengikut kemampuan bagi menampung keperluan ahli keluarga.
Tinjauan Malaysia Tribune pada hari pertama permulaan sesi persekolahan hari ini mendengar keluhan ibu bapa berdepan kos perbelanjaan yang meningkat saban tahun.
Bapa murid di Sekolah Seri Permaisuri, Helmi Ahmad berkata, kenaikan harga barang sehingga lebih 100 peratus sejak beberapa tahun lalu cukup membebankan keluarganya.
Demi memenuhi keperluan pelajaran dua anaknya, dia terpaksa mengorbankan segala simpanan wang dan bekerja lebih masa setiap hari.
“Secara purata saya membelanjakan sekitar RM1,000 untuk dua anak saya. Seorang darjah satu tahun ini.
“Memang agak membebankan sampai ‘bergolok bergadai’ kami sekeluarga. Itu tidak termasuk kos untuk sekolah agama lagi.
“Yang kakak pula hanya mampu pakai baju lama dari tahun lepas,” katanya yang bekerja sebagai sebagai penghantar barang.
Lebih perit katanya, apabila permulaan sesi persekolahan begitu dekat dengan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut bulan depan.
“Lepas habis yang ini (buka sekolah), sekarang kena pulun untuk cari duit beli pakaian raya untuk anak-anak pula.
“Saya tidak dapat bayangkan macam mana keluarga yang tiada pendapatan tetap berdepan dengan semua ini,” katanya
Seorang lagi bapa, Mohd Farid Md Sum berkata, kerajaan perlu menganjak tarikh permulaan sesi persekolahan ke awal tahun untuk terlalu dekat dengan hari raya.
Katanya, permulaan sesi pada bulan Mac sedikit sebanyak menjejaskan kewangan keluarga khususnya dalam golongan B40 yang kian terkesan dengan kenaikan harga barang.
“Sebelum ini sekolah buka Januari, kami boleh juga guna sedikit bonus yang majikan bagi,” katanya.
Sementara itu Fudzir Aziz berkata, tuntutan untuk membelanjakan keperluan sekolah anak-anak menyebabkan dia terpaksa mengabaikan keperluan lain.
Dia yang baharu sahaja mula bekerja selepas dihentikan oleh majikan ketika pandemik juga mengaku sudah tiga tahun tidak pulang ke kampung kerana kesuntukan bajet.
“Untuk tiga orang anak saya di sekolah ini, saya perlu sekurang-kurangnya RM2,000. Dengan pendapatan yang saya sekeluarga terima sekarang memang agak ‘ketat’,” katanya.
Justeru Fudzir mencadangkan kerajaan menambahbaik program bantuan kepada ibu bapa golongan B40 termasuk inisiatif Bantuan Tunai Rahmah (BTR) yang hanya mengehadkan gaji RM2500 ke bawah sebagai penerima.
“Kerajaan kena teliti semula liputan bantuan kepada golongan B40 kerana ada yang tidak layak terima sebab hanya terlebih had gaji.
“Mereka ini kalau ikutkan masih sengsara menghadapi kos sara hidup,” katanya.