Jenayah & Mahkamah

Hafidz Roshdi akui masih sayang bekas isteri

KUALA KUBU BHARU – Pelakon, Hafidz Roshdi, mengakui bersedia untuk berdamai bersama bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri selepas dia didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan mencederakan Nurul Shuhada pada 2 Mac lalu.

Menurut Hafidz, dia masih menyayangi Nurul dan akan mencuba menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Masih terbuka (ruang perdamaian), sampai bila-bila.

“Masih wujud rasa cinta terhadap dia. Saya akan cuba yang terbaik untuk selamatkan rumah tangga saya,” katanya selepas selesai proses pembayaran wang ikat jamin di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Terdahulu, mahkamah memerintahkan Hafidz menjalani pemeriksaan dan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak berkuat kuasa 28 Mac ini.

Perintah dikeluarkan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret selepas permohonan perkara itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Hafidz sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini, awal Mac lalu.

Sehubungan dengan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan tarikh 9 Jun ini bagi sebutan semula kes dan penyerahan laporan perubatan dan penilaian psikiatri tertuduh.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button