Lebih 70 peratus aset 1MDB berjaya diperoleh semula
PUTRAJAYA – Lebih 70 peratus aset 1MDB berjumlah kira-kira RM28.3 bilion berjaya diperolehi kembali setakat ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil kerja keras SPRM, Kementerian Kewangan (MOF) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Beliau bagaimanapun berkata, pengesanan baki aset 1MDB masih lagi diteruskan dan tidak akan dihentikan.
“Kita akan usahakan sebaik mungkin untuk kembalikan wang yang dicuri ini kepada negara.
“Duit yang hilang sebenarnya RM42 bilion, jadi kalau kita tengok dapat pemulangan dalam RM28.3 bilion. Baki 30 peratus kita cuba dapatkan balik secepat mungkin,” katanya, di sini hari ini.
Bagi mendapatkan baki aset tersebut, beliau menambah, SPRM akan mendapatkan kerjasama dan kepakaran pelbagai agansi lain.
Azam berkata, SPRM adalah agensi utama dalam penyiasatan kes 1MDB iaitu berperanan membekal fakta, mengeluarkan waran tangkap dan menuduh mana-mana pihak yang terbabit dalam kes ini.