Tidak kira siapa, jangan ada yang terlepas bayar cukai – PM
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memastikan tiada pihak yang terlepas daripada tanggungjawab membayar cukai termasuk dalam kalangan pemimpin dan konglomerat terkenal.
Gesaan supaya LHDN bertindak lebih tegas dan efisyien itu kata beliau perlu bagi memastikan tiada pengecualian diberikan kepada golongan maha kaya yang menikmati hasil yang besar dari perniagaan di negara ini.
“Apa yang saya tuntut adalah penelitian termasuk orang-orang besar yang punya kedudukan yang tinggi dalam kerajaan. Sebagai agensi yang berkenaan, tugas kita adalah menyiasat.., dan badan-badan menyiasat haruslah mengeledah golongan ini.
“Saya tidak kira jika orang itu maha kaya yang guna pelbagai cara dan untuk mengelak cukai. Tidak kira walaupun kenalan atau penyokong saya sendiri. LHDN wajib geledah.
“Selagi saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini, saya mahu semua tidak terlepas daripada bayar cukai ,”katanya pada sambutan Hari Hasil Ke 27 di Menara Hasil di sini malam ini.
Anwar berkata, kutipan cukai yang baik boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi hasil negara yang lebih baik sekaligus memberi manfaat kepada golongan yang sepatutnya.
Beliau berkata, gesaan itu juga penting untuk menghentikan golongan pemimpin politik yang sejak sekian lama memunggah kekayaan dan tidak melaksanakan tanggungjawab membayar cukai.
“Jadi kita perlu ada satu permulaan sistem yang tegas, yang kita perlu mulakan sekarang.
“Saya juga akan memberikan sokongan penuh kepada usaha ini untuk memastikan rakyat negara ini memperoleh manfaat. Mereka tidak boleh lagi memberi helah,” katanya.
Daripada kutipan hasil yang lebih baik katanya, kerajaan mensasarkan 130,000 orang daripada kalangan miskin tegar akan dapat ‘dibebaskan’ pada tahun ini.
Menteri Kewangan itu juga berkata, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk belanja membaik pulih sekolah dan klinik daif di seluruh negara.
“Kita harap tahun ini 130,000 yang tergolong miskin tegar dapat dibebaskan dengan sumbangan LHDN supaya anak-anak kita tidak pergi ke sekolah dengan tandas yang rosak, klinik desa daif,” katanya.