Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dimuktamad tiga bulan lagi
PUTRAJAYA – Kementerian Ekonomi akan memuktamadkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga untuk menterjemahkan Dasar Tenaga Negara kepada projek peralihan tenaga yang bakal diterajui syarikat besar, sederhana, dan kecil, dalam tempoh tiga bulan lagi.
Sasaran Malaysia untuk beralih dari tenaga sedia ada ke tenaga hijau merupakan agenda strategik yang mampu mencipta pekerjaan baharu yang bernilai tinggi, selain memenuhi tanggungjawab global negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah berkaca (GHG).
“Keperluan untuk mematuhi standard hijau sedunia semakin meningkat dan industri Malaysia harus memenuhi syarat dan piawaian hijau untuk kekal berdaya saing sebagai negara perdagangan,” kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Susulan itu, Malaysia secara rasmi telah menyertai Asia Zero Emission Community (AZEC), blok tenaga yang terdiri dari Jepun, Australia, dan negara-negara ASEAN kecuali Myanmar.
AZEC merupakan inisiatif baharu bagi memacu peralihan tenaga daripada sumber hidrokarbon kepada sumber tenaga bersih dan tenaga boleh baharu (TBB) serta aspirasi sifar bersih pelepasan GHG yang lebih signifikan.
Berikutan itu, kerjasama yang dijalin melalui AZEC mampu membuka peluang kepada Malaysia untuk mempercepatkan pemindahan teknologi dan pembiayaan hijau supaya dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat negara.