Perkasakan TVET, 10 syarikat swasta bakal jalin kerjasama dengan kerajaan
CYBERJAYA: Sebanyak 10 syarikat swasta terbesar akan memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan kerajaan dalam masa terdekat sebagai permulaan ke arah usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, langkah itu penting kerana program berkenaan yang kini melibatkan 12 kementerian telah menelan belanja yang besar tetapi mahasiswa yang dihasilkan tidak menepati keperluan industri.
Menurutnya, perbelanjaan untuk TVET adalah tinggi sehingga mencapai RM6.7 bilion dan kaedah terbaik adalah menjalinkan kerjasama dengan syarikat swasta untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung kerajaan dan dalam masa sama dapat mengelak masalah ketakpadanan.
“Kerajaan akan menyediakan premis dan tenaga pengajar manakala syarikat swasta terlibat menyediakan peralatan dan teknologi mengikut sektor masing-masing supaya kursus yang dibuat itu benar-benar diperlukan industri,” katanya kepada media.
Terdahulu beliau merasmikan bengkel Young Employable Students (YES!) 2023 anjuran Talent Corp Malaysia (TalentCorp), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata program YES! 2023 dijangka menarik 6,000 pelajar terutamanya bakat TVET bagi mengukuhkan usaha mencapai kebolehpasaran pekerjaan.
Menurutnya, program YES! telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 pelajar sejak diperkenalkan 2019.
“Pelaksanaan inisiatif YES! mengambil kira Kajian Senarai Pekerjaan Kritikal oleh TalentCorp yang mendapati cabaran terbesar dihadapi oleh bakat muda tempatan dalam pasaran kerja adalah jurang kemahiran insaniah seperti komunikasi, kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kritis, katanya.