Pengguna TikTok dakwa SPRM tawar RM10 juta ditahan
PUTRAJAYA – Seorang pengguna TikTok ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, atas dakwaannya yang mengatakan SPRM menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.
Perkara tersebut disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Menurut Azam, penahanan suspek, Mohamad Shafiq Abdul Halim adalah mengikut Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan.
“Dia datang ke pejabat setelah dapat arahan kita dan kemudian ditangkap di pejabat SPRM (Putrajaya) semalam, jam 3.30 petang,” katanya.
Shafiq dalam kenyataan di Facebook, berkata dakwaan tawaran RM10 juta hanyalah berdasarkan khabar angin semasa di mahkamah, bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai Muhyiddin.
Dalam pada itu, Azam berkata secara peribadi dakwaan Shafiq itu tidak boleh dimaafkan walaupun dia telah memohon maaf semalam kerana perbuatannya itu telah merosakkan imej SPRM.
“Kalau nak cakap secara jujurnya, mana saya nak ambik RM10 juta nak bagi kepada Wan Saiful.
“Benda (video) ini tidak boleh dipadamkan. Mana-mana dan rata-rata pun masih lagi mempercayai wujudnya perkara ini,” tegasnya.