Malaysia Autoshow buat kemunculan semula setelah 3 tahun tertangguh
CYBERJAYA – Setelah tertangguh selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19, pameran kereta Malaysia Autoshow akan kembali pada 4 hingga 7 Mei ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Phang Ah Tong berkata, edisi tahun ini bukan sahaja membawakan pameran automotif dan permotoran, malah meluaskan skop meliputi teknologi penting yang boleh dijangkakan oleh rakyat sejajar perkembangan sektor mobiliti di era digital.
“Ini selari dengan usaha kerajaan, menyokong dan memudah cara pemain industri tempatan dan antarabangsa dalam pembangunan EV dalam arena automatif Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pameran tersebut di Auditorium MARii, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Industri, MITI, Datuk Hanafi Sakri dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Bertemakan ‘Mobility Redefined’ (mobiliti ditakrif semula) turut diperkenalkan ciri-ciri baharu dalam acara tersebut, seperti ‘Malaysia Bike Show’ dan ‘Malaysia EV Show and Charged’.
Pada edisi kali ini, pengunjung turut berpeluang mencuba kenderaan terkini di laluan ujian sepanjang tiga kilometer (km), menimba pengalaman mengenai ciri-ciri teknologi kenderaan dan mengambil bahagian dalam aktiviti mobiliti dalam dewan dan luar, dalam ruang pameran berkeluasan 30,000 meter persegi di MAEPS.
Lebih 300 pempamer, yang terdiri daripada pengeluar kenderaan dan pengeluar peralatan asal (OEM) akan mengambil bahagian tahun ini.
Orang ramai yang berminat untuk mengunjungi pameran tersebut boleh mendapatkan tiket mulai sekarang secara atas talian menerusi portal autoshow.my
Tiket berharga RM15 bagi orang dewasa, manakala bagi kanak-kanak berumur di bawah 10 tahun dan warga emas adalah percuma.