Berita Semasa

Laporan SPRM berkait Nazlan diserahkan kepada Ketua Hakim Negara – Azalina

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyerahkan laporan berhubung siasatannya ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nazlan Ghazali kepada Ketua Hakim Negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, beliau dimaklumkan mengenai penyerehan laporan itu menerusi sepucuk surat daripada SPRM.

“Surat itu memaklumkan, laporan itu sudah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 21 Feb lalu,” kata Azalina di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, surat itu tidak mengandungi sebarang maklumat tambahan berhubung perkara terbabit.

Untuk rekod, laporan yang dihantar tersebut merupakan hasil siasatan ke atas Nazlan yang didakwa melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Jelas Azalina lagi, laporan tersebut dirujuk kepada Ketua Hakim Negara, berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 125(3) dan 125(3A) Perlembagaan Persekutuan.

“(Sementara itu) Di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai budi bicara untuk memulakan prosiding terhadap sesiapa saja, termasuk hakim.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak akan campur tangan,” kata Azalina lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button