Berita SemasaSukan

Hariz Hipni teruja jadi tekong termuda dipilih sertai ujian pemilihan skuad sepak takraw ke Sukan SEA dan Asia 2023

CYBERJAYA – Meskipun baru berusia 18 tahun, permata baharu sepak takraw dari Sarawak, Muhammad Hariz Hipni bersedia untuk bersaing dengan pemain lebih senior bagi merebut tempat ke Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia 2023.

Muhammad Hariz yang beraksi bersama pasukan SSC Sarawak dalam acara Sepak Takraw pada Sukan Malaysia (SUKMA) lalu merupakan satu satunya pemain dari Malaysia Timur yang diberi peluang untuk menjalani Program Pemilihan dan Ujian Kecergasan Skuad Sepak Takraw Lelaki Kebangsaan yang akan diasakan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada 24 hingga 26 Februari ini.

“Saya berasa teruja dan gembira apabila diberi peluang dalam ujian pemilihan pasukan kebangsaan buat kali pertama.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada kedua ibu bapa, jurulatih, dan penyokong kerana telah memberi sokongan dan bimbingan kepada saya untuk terus maju dalam sukan sepak takraw ini,” kata pemain posisi tekong itu kepada Malaysia Tribune.

Menurut Muhammad Hariz, meskipun bakal bersaing dengan nama besar seperti Syahir Rosdi, ia tidak mematahkan semangatnya untuk memberikan aksi terbaik dalam ujian pemilihan itu.

“Walaupun terdapat banyak nama nama besar seperti Syahir Rosdi, yang pernah mewakili Malaysia, saya berasa teruja dan bersemangat kerana dapat menjalani latihan bersama mereka.

“Dalam masa yang singkat keyakinan saya untuk berada dalam kelompok 6 terbaik meningkat 70 peratus dan berharap prestasi saya terus meningkat ketika sesi pemilihan nanti,” ujarnya.

Sementara itu, jurulatih SSC Sarawak, Ridhwan Abdul Manaf berkata, Muhammad Hariz seorang pemain yang berbakat besar dan beliau amat yakin dia mampu bersaing dengan pemain lain yang turut serta dalam pemilihan itu kelak.

“Saya gembira apabila pemain dari Sarawak ini terpilih untuk bersama-sama pemain senior lain dalam sesi ujian pemilihan kali ini.

“Inilah kesempatan terbaik untuk mereka menempatkan diri dalam skuad kebangsaan dan seterusnya beraksi dalam kejohanan besar di peringkat Asia,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button