Jenayah & Mahkamah

Suspek terlibat kes tikam di Hospital Selayang mungkin berada dalam keadaan kambuh ketika kejadian

PUTRAJAYA – Persatuan Kesihatan Mental Malaysia menggesa supaya akses kepada penjagaan dan sokongan yang betul perlu diberikan kepada pesakit mental bagi mengelakkan insiden tikaman di Hospital Selayang berulang di masa hadapan.

Menurut Presidennya, Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj, ini kerana individu yang dilaporkan mempunyai sejarah penyakit mental mengalami kesukaran menguruskan emosinya.

“Adalah penting untuk menyedari bahawa walaupun kejadian tikaman yang berlaku di ruang menunggu Hospital Selayang amat dikesali, individu yang bertanggungjawab besar kemungkinan menghidap penyakit mental jangka panjang dan berada dalam keadaan kambuh (penyakit berulang) pada masa kejadian.

“Individu itu dilaporkan mempunyai sejarah penyakit mental dan jelas mengalami kesukaran menguruskan emosinya. Walaupun kita tidak boleh menerima letusan emosi sedemikian, kita juga mesti menyedari keadaan bahaya boleh berlaku apabila seseorang pesakit mental tidak mendapat penjagaan yang mereka perlukan untuk menguruskan keadaan mereka dengan betul.

“Adalah wajar untuk menekankan di sini , kepentingan menyediakan individu yang bermasalah mental dengan akses kepada penjagaan dan sokongan yang betul, supaya insiden seperti ini dapat dielakkan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin seorang pesakit mental menikam seorang lelaki di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang dengan menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian pinggang mangsa dengan menggunakan pisau.

Akibat serangan itu, mangsa yang berusia 29 tahun mengalami kecederaan pada abdomen kiri dan kanan badan serta bahagian belakang badan.

Dalam padsa itu, Mohanraj berkata, pesakit mental mempunyai kecenderungan ganas hanya apabila keadaan mereka terjejas akibat ketidakpatuhan ubat atau disebabkan oleh faktor lain yang menyebabkan tekanan melampau yang mencetuskan kambuh.

“Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Dr Noor Hisham Abdullah mungkin tepat mengatakan bahawa kejadian tikaman itu tidak ada kaitan dengan wad yang sesak dan kejadian itu boleh berlaku di mana-mana kerana pesakit sedang mengalami masalah kesihatan mental.

“Perlu diingatkan bahawa pesakit mental tidak semestinya lebih cenderung untuk menunjukkan keganasan daripada populasi umum. Mereka mempunyai kecenderungan ganas hanya apabila keadaan mereka terjejas akibat ketidakpatuhan ubat atau disebabkan oleh faktor lain yang  menyebabkan tekanan melampau yang mencetuskan kambuh. Perlu di tekankan bahawa mereka yang mempunyai penyakit mental patut menerima penjagaan dan rawatan yang sewajarnya bagi memastikan mereka dapat menguruskan keadaan mereka,” katanya.

Sementara itu beliau juga melahirkan kesyukuran apabila mangsa tikaman itu kini stabil dan pada masa sama pihaknya bersedia untuk menawarkan sebarang bentuk sokongan psikologi kepada mangsa tersebut.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button