Insiden tembakan MSU: Tiga terbunuh, lima cedera
LOS ANGELES – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala lima lagi cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di Michigan State University (MSU), pada malam Isnin.
Ketua Polis MSU, Marlon Lynch berkata, suspek utama kejadian turut terbunuh setelah dikepung oleh pihak polis.
Buat masa ini, suspek kejadian belum disahkan identiti, tetapi digambarkan sebagai lelaki berkulit hitam yang memakai topeng.
“Dia menembak dirinya sendiri setelah anggota kami berjaya mengepungnya dari melarikan diri,” kata Lynch dalam satu sidang akhbar kepada media tempatan.
Jelas Lynch lagi, mangsa yang terbunuh ditemukan di dua lokasi berbeza iaitu dua di Berkley Hall manakala seorang lagi di rumah persatuan pusat pengajian tersebut.
MSU, salah sebuah institusi pengajian tinggi awam utama di Amerika Syarikat, menempatkan 50,000 pelajar siswazah dan sarjana muda di kampus utamanya, East Lansing.