UMNO komited sokong Anwar Ibrahim, bawa kestabilan politik
BANGI – Parti UMNO kekal komited dalam menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal demi kestabilan politik negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, komitmen tersebut dinyatakan dalam resolusi yang dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, bulan lepas.
“Jadi apabila kita sokong kerajaan ini maksudnya Anwar adalah Perdana Menteri yang kita ada (hingga akhir penggal)… supaya wujud kestabilan dalam negara kita,” katanya.
Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian selepas melancarkan Program Inkubator Sukan Dron di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.
Jelas Ahmad lagi, arena politik negara kini sudah stabil dengan wujudnya Kerajaan Perpaduan yang memperolehi sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat iaitu lebih dua pertiga majoriti.
“Sejak Pilihan Raya Umum 2004, kali ini baru kita dapat majoriti sebanyak ini,” katanya lagi.
Terdahulu, ketika bertitah di Parlimen hari ini, Al-Sultan Abdullah menyambut baik permuafakatan dicapai Kerajaan Perpaduan yang selari dengan hasrat baginda untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.
Seri Paduka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar kerana dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.
Baginda juga meminta semua pihak berlapang dada dan menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan hati yang terbuka.