Jenayah & Mahkamah

Mayat lelaki dengan kesan tetak ditemukan dalam tasik

CYBERJAYA: Seorang lelaki ditemukan maut dengan lima kesan tetak di bahagian kepala dan pergelangan tangan kiri hampir putus di dalam tasik di belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah Cyberjaya, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mayat lengkap berpakaian berusia 43 tahun itu ditemukan seorang pemancing pada pukul 8.15 malam dan siasatan mendapati mangsa berasal dari Puchong, Selangor.

“Siasatan di lokasi kejadian  menemukan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terjunam di tasik berkenaan.

“Sebaik sahaja menghampiri kereta itu, saksi  mendapati satu objek menyerupai manusia di dalam keadaan terapung di dalam tasik pada jarak lebih kurang tiga meter.  Mayat ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian baju T berwarna hitam dan berseluar jeans serta bertali pinggang,” katanya memetik laporan Utusan Online hari ini.

Katanya, sepasukan bomba daripada Balai Bomba Cyberjaya dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke tebing tasik dan siasatan mendapati wujud unsur jenayah yang mana terdapat kesan tetakan di bahagian kepala sebelah kanan serta pergelangan tangan sebelah kiri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button