PM beri semangat kepada pasukan SMART ke Turkiye
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar ke Turkiye, untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.
Menerusi catatan di Facebook, beliau turut mendoakan semoga usaha pasukan berkenaan dipermudah.
Semalam, pasukan berkenaan yang dianggotai anggota SMART, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) tiba di Turkiye pada 11 pagi (waktu Malaysia) bagi menyertai misi SAR, di wilayah terjejas bencana gempa bumi.
Pada awal pagi Isnin, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahrananmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain, termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adiyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay serta Kilis.
Menurut laporan media, setakat pagi ini tragedi itu sudah meragut lebih 7,700 nyawa di Turkiye dan Syria.