Bisnes & Ekonomi

YEG buka kampus di Malakat Mall, tampung Diploma Pengurusan Haji dan Umrah

CYBERJAYA – YEG Academy (YEG) Sdn. Bhd. pada tahun ini menawarkan 1,000 peluang pengajian dalam Program Diploma Pengurusan Haji dan Umrah kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui kempen YEG Pesta Sambung Belajar.

Program yang dikenali sebagai Fakulti Diploma Pengurusan Haji dan Umrah (DHUMY) itu dimeterai melalui kerjasama YEG dengan Kolej Antarabangsa Inovatif yang beroperasi di Kelana Square, Kelana Jaya, Selangor.

Pengarah Urusan YEG, Hasan Ithnin berkata, bagi menampung pertambahan pelajar dan menyediakan kemudahan yang lebih kondusif, penempatan pelajar-pelajar bagi program DHUMY akan dipindahkan ke kampus di Malakat Mall, di sini.

Beliau berkata, walaupun masih baharu di pasaran, program pengajian mutawwif dan mutawwifah itu menawarkan kebolehpasaran yang tinggi berdasarkan permintaan mengerjakan ibadah haji dan umrah yang semakin meningkat.

“Kami menawarkan satu ekosistem pembelajaran yang lengkap termasuk latihan praktikal di Mekah dan Madinah selain peluang pekerjaan yang tinggi.

“Melalui program pengajian ini, kami berharap untuk melahirkan mutawwif dan mutawwifah yang mahir dan lebih berpengetahuan dalam kerjaya ini, khususnya untuk menampung permintaan para jemaah dari Malaysia.

“Pembangunan modal insan ini juga diharap dapat menyantuni segala keperluan khususnya dalam urusan jemaah ahli Sunnah wal Jamaah dan tidak lagi bergantung kepada mutawwif dari negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Fakulti Pengajian Antarabangsa Program Dhumy dan pelancaran  Portal Pembelajaran Haji & Umrah Pertama di Malaysia (E-hajj.my) di Malakat Mall, kelmarin.

Turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama beberapa agensi pelancongan yang terlibat dalam program itu.

Majlis dihadiri Pengerusi Kolej Antarabangsa Inovatif, Dato’ Prof Emeritus Dr. Hashim Yaacob; Presiden Kolej Antarabangsa Inovatif, Shahawati Umar; Pengarah Pemasaran YEG, Azizulhakim Suhaimi, Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim dan Pensyarah Kanan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah, PU Amin.

Shahawati Umar berkata, program selama dua tahun setengah itu ditawarkan dengan yuran RM25,500 termasuk pendaftaran dan yuran praktikal bersama agensi pelancongan tempatan dan di Mekah dan Madinah.

Katanya, tawaran itu terbuka kepada semua lepasan SPM yang mempunyai sekurang-kurangnya 3 kredit dalam mana-mana subjek dan tidak melepasi had umur 45 tahun semasa permohonan.

Sementara itu, portal e-hajj.my yang diperkenalkan oleh Akademi Mutawwif Training Centre (AMTC) dengan kerjasama Akademi Belajarlah diwujudkan sebagai ‘One Stop Centre’ untuk para pelajar mengikuti pengajian secara online dan sebagai pusat perkembangan kerjaya dalam bidang haji dan umrah.

Ia juga bakal menjadi platform yang akan menyenaraikan nama-nama pelajar yang lulus dan layak untuk menjadi mutawwif akan disenaraikan dalam portal berkenaan sekali gus memudahkan pemain industri untuk mencari pekerja bertauliah.

Pada majlis itu juga, YEG mengumumkan dua pensyarah baharu program DHUMY iaitu Tuan Badrul Sani yang berpengalaman luas dalam  Neuro Linguistik program (NLP) dan juga sebagai motivator.

Seorang lagi pensyarah adalah Al- Habib Syeikh Dr. Omar Muhammad Kalash As-Syafie al-Husainiy yang juga sebagai penasihat Akidah dan Sahsiah DHUMY.

Show More

Related Articles

Back to top button