Kerajaan cadang tubuh Suruhanjaya Keselamatan Siber
PUTRAJAYA – Kerajaan bercadang menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia sebagai satu langkah memperkukuh keselamatan siber negara.
Berikutan itu, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi menjayakan penubuhan suruhanjaya itu.
“Ada perancangan besar iaitu harapan untuk usahakan pembentukan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKD 2023 di sini hari ini.
Fahmi dalam pada itu berkata, beberapa pindaan melibatkan agensi di bawah KKD seperti Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 13 Feb depan.
“Tiada guna kalau data ada tetapi tidak selamat, JPDP perlu diperkukuh dan CSM juga perlu dilonjakkan… perkara-perkara asas perlu diselesaikan segera,” katanya lagi.
Persidangan Dewan Rakyat dijadualkan bermula pada 13 Feb ini dan Belanjawan 2023 akan dibentangkan semula di Parlimen pada 24 Feb oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
Sementara itu, Fahmi berkata semakan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia akan selesai sebelum hujung Mac ini dan ketika ini sedang diadakan proses mengumpul maklum balas serta pertemuan dengan semua pihak berkaitan.
“5G main peranan bukan hanya akses perkhidmatan, ia adalah cara urus teknologi dan keupayaan bantu masa depan dengan lebih baik serta lebih Madani,” katanya.
Pada 13 Jan lepas, Fahmi berkata dasar pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum penghujung suku pertama tahun ini.