Bisnes & Ekonomi

Tiada keperluan naikkan siling hutang kerajaan

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk menambah had siling hutang negara melebihi 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan telah meluluskan sehingga 65 peratus had siling hutang negara yang berjumlah RM1.2 trilion daripada KDNK.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan telah menaikkan jumlah had siling sebanyak dua kali ketika pandemik Covid-19 iaitu pada kadar 55 peratus kemudian 60 peratus.

“Setakat ini saya tidak nampak ada keperluan untuk meningkatkan had siling.

“Jumlah hutang negara sebenar adalah RM1.46 trilion yang dibundarkan menjadi RM1.5 trilion itu termasuk kontingen liabiliti.

“Kalau hutang kerajaan yang dibenarkan itu, RM1.2 trilion yang bersamaan dengan kadar 61 peratus had siling,” kata di sini hari ini.

Ahmad Maslan berkata demikian selepas majlis menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) dengan Uniti Asia Group of Business di Menara Arina Uniti, Kampung Bharu, hari ini.

Hadir sama Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor dan Presiden Kumpulan Uniti Asia, Jamal Amin.

MoU itu bertujuan membuka peluang kepada pengusaha perniagaan mikro kecil dan sederhana ( PMKS ) meluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa khususnya Patani, Thailand dan China.

Antara peluang lain yang bakal diterokai adalah pasaran produk halal, penganjuran seminar dan klinik keusahawanan, penyewaan tapak, penghantara dan banyak lagi.

Sementara itu, Ahmad Maslan memberitahu, Dialog Belanjawan yang bermula hari ini dan dipengerusikan olehnya itu akan membentangkan 18 dialoq merangkumi pembangunan belia, sekuriti makanan, pembangunan inklusif luar bandar, agenda bumiputera dan kaum-kaum lain.

Show More

Related Articles

Back to top button