Suspek skodeng bilik air diberkas
CYBERJAYA – Seorang lelaki warga asing dipercayai pelajar sebuah kolej swasta ditahan bagi membantu siasatan kes menghendap bilik air di sebuah kondominium di di sini hari ini.
Ketua Polis Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek yang berusia 23 tahun ditahan di kediamannya di kondominium yang sama, petang tadi.
Terdahulu, rakaman kejadian menghendap tersebut berjaya dirakam oleh seorang saksi.
“Pengadu dimaklumkan oleh saksi bahawa dia ternampak seorang lelaki sedang mengintai rumah pengadu dengan berdiri di ruang tepi rumah membuka tingkap tandas.
“Saksi yang ketika itu sedang mengemas rumah, mendiamkan diri dan terus merakam aksi lelaki berkenaan,” kata Wan kamarul Azran dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Tambah Wan Kamarul, saksi kemudiannya keluar dari rumahnya untuk mengejar suspek, namun dia berjaya melarikan diri setelah sedar aksinya diperhatikan.
“Berikutan laporan yang dibuat pengadu, pihak kami berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 23 tahun,” tambah Wan Kamarul Azran.