Jenayah & Mahkamah

Ibu muda dihadapkan ke mahkamah bunuh anak kandung

SEPANG – Seorang ibu muda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas tuduhan membunuh anaknya yang berusia satu tahun enam bulan pada Ahad lalu.

Umishahirah Khalid,20, dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap anaknya pada jam 5.52 petang hingga 11.30 pagi dari tarikh 11/1/2023 hingga 12/1/2023.

Tertuduh dikatakan melakukan kesalahan tersebut di kediamanya beralamat di Vertex Tower Cyber Square Jalan Teknorat 6 Cyber 5, Cyberjaya, di sini.

Tertuduh yang diwakili peguam ganti, Johan Radzi dilihat hanya menganguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi, meminta sebutan semula kes bagi menunggu laporan pemeriksaan psikatri, kimia dan perubatan tertuduh terlebih dahulu.

Ahmad Fuad menetapkan 20 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menyemak laporan-laporan tersebut.

Untuk rekod, tertuduh yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta sedang dalam proses perceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya seorang penganggur.

Mangsa yang merupakan kanak-kanak lelaki telah dihantar oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital sebelum meninggal tiga hari setelah dirawat.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, kanak-kanak itu mengalami pendarahan di kedua-dua belah anak mata berkemungkinan disebabkan penderaan terhadap mangsa sehingga menyebabkan mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Menerusi siasatan, suspek mengaku menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga serta keluarga.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button