Kutipan cukai 2022 lepas sasaran
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mencatat kutipan hasil cukai melebihi sasaran pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, LHDN pada awalnya menetapkan sasaran kutipan sebanyak RM139 bilion.
“Ia (kutipan cukai) melebihi sasaran dan angka itu biarlah menteri (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang umumkan. Ia satu angka yang terbaik setakat ini dan menteri akan umum pada masa yang sesuai.
“Jadi saya ingin mengatakan 2022 merupakan tahun paling cemerlang setakat ini buat LHDN,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerjanya ke Menara LHDN, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi.
Ahmad seterusnya berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk memperkenalkan sebarang cukai baharu, ataupun mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai satu langkah menambah pendapatan negara.
“Tiada sebarang keputusan cukai baharu termasuk GST dan perbincangan mengenainya sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan. Jadi saya ingin ulang balik.
“Apa yang saya ingin katakan ialah kita boleh mencari idea yang lebih kreatif dan dengan penambahan itu akan dapat banyak lagi membantu rakyat. Tidak semestinya dengan cukai sahaja kita akan tambah pendapatan negara,” katanya.