Berita Semasa

Status Sabah, Sarawak sebagai wilayah belum diwartakan – Abang Johari

KUCHING – Status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah dalam Malaysia akan dibincangkan dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara kerajaan persekutuan serta Sarawak yang dijadualkan pada 19 Jan nanti.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, perubahan status kedua-dua negeri itu masih pada peringkat cadangan dan belum diwartakan lagi.

“(Status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah) belum lagi diwartakan. Pewartaan sebagai wilayah itu hanya cadangan sahaja, dan dari mula lagi memang kita (Sabah dan Sarawak) sepatutnya (berstatus) wilayah tapi keadaannya berubah dalam 60 tahun, jadi sebab itu kita meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Hari Bebas Kereta Kuching, di sini hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, kerajaan persekutuan akan diminta untuk memuktamadkan sama ada kedua-dua negeri Borneo itu akan diwartakan sebagai wilayah dalam mesyuarat yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dijangka mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Sarawak pada 18 dan 19 Jan depan, lawatan pertama beliau ke negeri ini sejak dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Nov tahun lepas.

Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung parti itu berkata, kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sejak bila status berkenaan berkuat kuasa.

Show More

Related Articles

Back to top button