Jenayah & Mahkamah

Pengarah syarikat direman empat hari

Disiasat berkaitan kes tuntutan palsu

PUTRAJAYA – Mahkamah Majisteret hari ini mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap seorang pengarah syarikat membantu siasatan berkaitan siasatan kes tuntutan pembinaan sebuah bangunan bernilai kira-kira RM92 juta di Kuala Terengganu.

Tempoh reman hingga Jumaat ini terhadap lelaki berusia 64 tahun itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin setelah membenarkan permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Sumber SPRM memaklumkan, lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada kira-kira pukul 3.45 petang semalam bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber itu, pengarah syarikat itu disyaki terlibat dalam memperakukan tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu melibatkan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal dalam projek pembinaan itu sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Sementara itu, di Johor Bahru, seorang pengarah syarikat swasta dipercayai menjadi proksi untuk mendapatkan projek daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjumlah lebih RM1 juta ringgit, empat tahun lepas, direman empat hari mulai hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 47 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Johor Bahru R Salini selepas SPRM membuat permohonan pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sumber lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada pukul 11.35 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, beliau dipercayai menjadi proksi kepada seorang pengarah GLC dalam mendapatkan kontrak-kontrak daripada GLC berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button