KDN cadang laksanakan proses pendigitalan rekod rakyat Malaysia
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang untuk melaksanakan proses pendigitalan 150 juta pelbagai jenis rekod rakyat Malaysia yang disimpan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak tahun 1880-an.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, khazanah maklumat itu perlu disimpan secara selamat, sesuai dengan teknologi zaman.
“JPN ada satu Bahagian Rekod seperti Arkib Negara yang menyimpan khazanah maklumat penduduk seawal abad ke-19 lagi sekitar tahun 1880-an yang berupa daftar kelahiran dan kematian.
“Walaupun pada masa itu maklumat asas direkodkan termasuk nama, nama ayah, nama mak, alamat, pekerjaan dan nama anak yang dilahirkan.
“Namun rekod itu disimpan di pejabat rekod, tidak disimpan oleh individu rakyat pun pada masa itu.
“Khazanah maklumat ini perlu kita simpan secara selamat, sesuai dengan teknologi zaman dan pastikan keselamatan rekod bagi tujuan munasabah pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Pendaftaran Negara (JPN), di sini hari ini.
Mengiringi beliau, timbalannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Saifuddin turut menambah, usaha pendigitalan rekod penduduk negara ini belum pernah dilakukan mana-mana pihak meskipun negara telah melalui peredaran zaman.