Tambang bas sekolah dijangka naik mulai Mac
CYBERJAYA – Tambang bas sekolah dijangka naik antara RM5 hingga RM10 mulai sesi persekolahan baharu pada Mac nanti.
Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat dilaporkan sebagai berkata kepada Sinchew Daily, Agensi Pengangkutan Awam Darat atau APAD telah memberi lampu hijau kepada pengusaha bas sekolah untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, keputusan menaikkan harga dan juga kadar kenaikannya adalah bergantung kepada pengusaha individu dan juga perbincangan mereka dengan ibu bapa.
Amali berkata, APAD menyatakan pendirian untuk tidak membantah jika kenaikan yang berlaku tidak keterlaluan dan ibu bapa juga bersetuju.
Beliau menambah, kebanyakan ibu bapa tidak membantah kadar kenaikan yang munasabah kerana mereka juga memahami kos sara hidup yang semakin meningkat.
Sebagai contoh, kadar tambang semasa bergantung kepada lokasi kerana di kawasan Petaling Jaya di Selangor sahaja mempunyai empat kadar berlainan.
“Di Damansara Heights, kadarnya adalah sekitar RM150 seorang tetapi di Kampung Sungai Ayu Ara, kadarnya adalah RM80 hingga RM120 seorang,” katanya.
Menurutnya, kos yang ditanggung pengusaha bas sekolah semakin tinggi kerana bukan sahaja alat ganti menjadi lebih mahal, malahan pengusaha juga perlu menaikkan gaji pemandu.
Jika tambang setiap murid dinaikkan RM10 dan diandaikan terdapat 100 murid, tambahan hasil sebanyak RM1,000 dijangkakan dapat menampung peningkatan kos yang berlaku.
“Pengusaha belum menaikkan tambang pada masa ini kerana masih berada dalam tahun persekolahan 2022, tetapi ia akan diselaraskan apabila memasuki tahun persekolahan 2023 pada Mac nanti,” katanya.