Belanjawan 2023: DBKL laksana program jaga kebajikan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan digunakan bagi melaksanakan 14 program utama yang dirangka khusus bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, belanjawan bertemakan ‘Bandar Raya Mampan, Sejahtera Bersama’ itu merangkumi RM1.96 bilion atau 75.3 peratus untuk mengurus dan RM643.7 juta atau 24.7 peratus untuk pembangunan ibu kota.
“Kebajikan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur merupakan keutamaan DBKL. Setiap program yang kami jalankan sama ada untuk tujuan pembangunan fizikal, sosioekonomi, kawalan perancangan atau perkhidmatan perbandaran dilaksanakan demi kebaikan warga kota,” katanya dalam sidang akhbar pembentangan belanjawan itu, di sini hari ini.
Mahadi berkata, menerusi belanjawan tersebut, DBKL turut memperuntukkan RM7 juta sebagai dana mengurus dan membangun perubahan iklim untuk kajian pelaksanaan penggunaan infrustruktur hijau seperti sistem district cooling (DCS) bagi mengurangkan pelepasan karbon seperti penggunaan pendingin hawa.
Beliau berkata sebanyak RM28.4 juta pula diperuntuk untuk melaksanakan projek mempertingkatkan sistem saliran dan perparitan, projek kolam takungan banjir, projek mitigasi banjir dan projek tebatan banjir.
“Bagi memastikan perancangan dan kesiapsiagaan Kuala Lumpur dalam menghadapi banjir kilat, DBKL memerlukan dana lebih besar bagi melaksanakan projek mitigasi banjir dan kami sedang memohon peruntukan tersebut daripada kerajaan Persekutuan (sekitar RM 500 juta),” katanya.
Tambah Mahadi, DBKL turut memperuntukkan sejumlah RM252 juta bagi memastikan Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat seliaannya lebih selesa.
Katanya, sebanyak RM2.9 juta turut disediakan bagi mempromosi produk pelancongan Kuala Lumpur dan melaksanakan program Accessible Mayor Award untuk penggiat industri pelancongan.
“DBKL bercadang menubuhkan Majlis Pelancongan pada peringkat DBKL dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur untuk merancang serta melaksanakan inisiatif bagi memajukan sektor pelancongan,” katanya.