Berita Semasa

Covid-19: KKM gesa orang ramai ambil dos penggalak kedua

CYBERJAYA – Orang ramai digesa mendapatkan dos penggalak kedua susulan peningkatan kes Covid-19 di China.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ketika ini hanya 1.9 peratus rakyat Malaysia telah mengambil vaksin dos penggalak kedua.

“KKM (Kementerian Kesihatan) menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan supaya mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.

“Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan dalam mengurangkan gejala serius dan kes kematian,” kata Zaliha dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyatakan harapan KKM adalah peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat terutama melibatkan golongan berisiko.

Ini berikutan hanya 49.8% sahaja rakyat yang telah mendapat vaksin dos penggalak pertama.

Pada 30 Dis lalu, Zaliha mengumumkan pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu untuk demam ekoran kebimbangan mengenai lonjakan kes Covid-19 di China.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, pihaknya mengambil serius kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes Covid-19 di China serta sekatan yang dibuat beberapa negara lain terhadap pengembara dari negara itu.

Katanya, perkara itu sememangnya merupakan keutamaan KKM ketika ini.

“Dengan pelanjutan Malaysia sebagai ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Zaliha berkata, antara tindakan segera boleh dilakukan termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara dan memperketatkan SOP pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

Katanya, tindakan itu akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara yang tiba dari China bahkan yang tiba dari semua negara di dunia.

“KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button