Terkunci dalam kontena, kanak-kanak warga Bangladesh berjaya diselamatkan
CYBERJAYA – Seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh berjaya diselamatkan setelah enam hari terperangkap dalam sebuah kontena yang dipercayai baharu tiba di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, semalam.
Laporan portal Sinar Harian memaklumkan, kapal berkenaan dilaporkan berlepas dari sebuah pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lalu.
Video penemuan kanak-kanak itu menjadi tular di media sosial, hari ini.
Video berdurasi 56 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah tidak bermaya keluar dari kontena sebaik pintunya dibuka oleh anggota polis bantuan pelabuhan tersebut.
Berdasarkan maklumat sumber, salah seorang kakitangan pelabuhan itu mendakwa terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena berkenaan.
Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia dibawa ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.
Kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan turut menjalani proses dokumentasi.
Sumber turut memaklumkan bahawa kanak-kanak itu telah dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal sama, hari ini.