Ziarah bertukar sayu: Wanita kongsi kenangan terakhir bersama adik ipar maut kemalangan
DUNGUN – Seorang wanita menyentuh hati netizen apabila berkongsi kisah kematian adik iparnya, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, yang baru beberapa hari bergelar ahli baharu dalam keluarga mereka.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Wan Nurhidayah Wan Pauzi berkata, dia dan ahli keluarganya bersama arwah sempat menziarahi adik mereka yang tidak sihat di Dungun kelmarin.
Menurut beliau, Allahyarham Wan Hasbullah dikenali sebagai seorang yang mesra, ringan tulang dan disayangi oleh keluarga mereka walaupun baru mendirikan rumah tangga dengan adik perempuannya.
“Ketika dalam perjalanan pergi, saya memandu kerana semuanya naik kereta saya. Tapi untuk perjalanan pulang, dengan lembut arwah nyatakan hasrat untuk memandu pula. Saya raikan sahaja,” tulis wanita yang mesra disapa Kak Ida itu.

Tambah beliau, sepanjang perjalanan, suasana di dalam kenderaan itu dipenuhi dengan bacaan surah As-Sajadah dan Al-Mulk yang dipimpin arwah.
Ujarnya, anak-anak saudara yang berada dalam kereta turut sama membaca dengan penuh tertib. Ketika tiba ayat sujud tilawah, arwah sempat memberi panduan agar semua membuat isyarat sujud dengan menundukkan kepala.
“Mulutnya tidak berhenti melayani kerenah anak-anak saudara. Sampai di satu-satu tempat, banyak cerita dan fakta dikongsi. Terserlah watak seorang ayah. Anak-anak dalam kereta tekun mendengar,” ceritanya.
Allahyarham yang merupakan seorang hafiz Al-Quran sejak berusia 16 tahun sempat memberi nasihat kepada anak Kak Ida, A’mmar yang sangat terinspirasi dengan perjalanan hidupnya.
BACA : Sempat bergelar suami empat hari, lelaki maut motosikal berkuasa tinggi rempuh Proton Saga
“Kalau dah usaha hafal tapi tak ingat juga, jangan risau. Kita ada Allah. Allah akan bantu bagi ingat Al-Quran. Kena dekat dengan Allah,” pesan arwah yang pernah belajar di maahad tahfiz dan menyambung pengajian ke Madinah.
Setibanya di rumah adik Kak Ida, arwah secara spontan mengajak semua membaca doa selamat walaupun ia tidak dirancang.
Beliau membacakan doa dengan penuh penghayatan, seolah-olah menyantuni setiap ahli keluarga dalam keadaan yang sangat bermakna.
Kak Ida turut menyifatkan arwah sebagai seorang ipar yang cepat disenangi, sentiasa tersenyum, ringan tulang, mesra dengan anak-anak, menghormati ibu mentua dan ipar-duai serta pandai membawa diri.
“Walaupun hanya enam hari bergelar ipar, dia terlalu dekat di hati kami. Chena, isterinya, tak henti-henti berkongsi tentang akhlak mulia dan keprihatinan suaminya. Arwah sanggup berpenat untuk orang lain,” tulis Kak Ida dalam status yang tular di media sosial.

Mengakhiri catatan, Kak Ida menginsafi bahawa pemergian arwah adalah satu pinjaman yang perlu dipulangkan. Walau hati hancur, beliau dan keluarga redha dengan takdir Allah.
“Cukuplah Allah bagi kami. Rebah, tapi Allah didik kami bangkit semula dengan rahmat dan kasih-Nya. Kerana syurga itu mahal, kami terima dengan rendah hati.
“Dia kembali dalam redha dan doa Chena, tokma, anak-anak adik beradik, ipar duai, ahli keluarga, sahabat, guru, orang kampung dan sesiapa sahaja yang mengenalinya. Arwah sangat banyak khidmat.
“Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali. Al-Fatihah,” tulisnya mengakhiri nukilan penuh emosi itu.
Terdahulu, Allahyarham Wan Hasbullah dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi, Kawasaki Z1000 yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta Proton Saga di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, Setiu dalam kejadian pukul 10.20 pagi semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
